SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN KEMABONG TENOM SABAH
Sekolah Menengah Kebangsaan Kemabong terletak lebih kurang 100 meter dari PEDi Kg Kemabong. Sekolah ini terletak kira-kira 31km dari Pekan Tenom dan kira-kira 76km dari Keningau. Sekolah ini mula beroperasi pada 1974 dengan jumlah pelajar 22 orang sahaja. Namun sekolah ini hanya menggunakan bangunan Sk kemabong dan Pengetua Sekolah pada masa itu ialah En. Awang Besar Bin Haji Abu Bakar. Pada tahun 1987, SMK Kemabong berpindah ke bangunan baru yang diguna sehingga kini dan dapat menampung sekitar 1000 pelajar dan banyak kemudahan telah disediakan. SMK Kemabong adalah satu-satunya sekolah menengah yang berada di kawasan Kuala Tomani & Kemabong untuk para pelajar meneruskan persekolahan di peringkat sekolah menengah. SMK Kemabong mempunyai dua sesi persekolahan iaitu Sesi Pagi dan Sesi Petang kerana mempunyai jumlah pelajar yang begitu ramai di kawasan ini. Kini, SMK Kemabong memiliki sekitar 1480 pelajar lelaki dan perempuan dan mempunyai sekitar 95 orang guru yang mengajar di sekolah ini.
SEKOLAH RENDAH KEBANGSAAN KEMABONG TENOM SABAH
Sekolah Kebangsaan Kemabong atau nama ringkasnya SK Kemabong, merupakan sebuah sekolah kebangsaan yang terletak lebih kurang 1.5km dari PEDi Kg Kemabong. Sekolah ini dibina sekitar tahun 1940 semasa pemerintahan Kolonial British (Crown Colony). Sekolah ini mula beroperasi sekitar awal tahun 1942 dengan jumlah murid seramai 47 orang. Guru besar pertama yang dilantik untuk menerajui sekolah ini pada masa itu ialah En. Singon. Sekitar tahun 1973 hingga 1978, semua sekolah diletakkan di bawah Pentadbiran Kerajaan Persekutuan. Kini, Sekolah Kebangsaan Kemabong memiliki sekitar 430 murid lelaki dan perempuan. Sekolah ini mempunyai sekitar 40 orang guru yang mengajar di sekolah ini.